Sungai Petani (Jawi: سوغاي فتني )
(singkatan Sg. Petani atau "SP")
merupakan sebuah bandar perindustrian di negeri Kedah yang terletak di utara Semenanjung
Malaysia. Sungai Petani ialah bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar.
Pengangkutan
Bandar Sungai Petani sangat mudah dihubungi
dengan jaringan jalan raya,jalan kereta api dan laluan udara.
Lebuh raya dan jalan raya
Dari ibu negara, Kuala
Lumpur, perjalanan ke utara menuju Sungai Petani melalui Lebuhraya Utara-Selatan seperti Alor Setar, Butterworth dan Ipoh.
Bagaimanapun, perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan lebih cepat dan
selesa.
Kereta
api
Sekiranya menaiki kereta api, anda boleh
turun di stesen keretapi Sungai Petani yang terletak di pusat
bandar. Jajaran laluan kereta api bermula dari Padang Besar, Perlis melalui bandar seperti Alor Setar, Gurun, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Butterworth, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Slim River, Tanjung Malim, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur.
Terdapat perjalanan terus dari Kuala Lumpur, Bangkok dan Hatyai melalui Sungai
Petani.
Lapangan
terbang
Lapangan terbang terdekat dengan Sungai
Petani ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang iaitu
lebih kurang 45 km dari pusat bandar. Selain itu, terdapat satu lapangan
terbang bagi laluan domestik di Alor Setar iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul
Halim.
Pendidikan
Banyak sekolah rendah dan menengah di bandar
Sungai Petani. Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta turut bertapak di
bandar ini. Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka kampus cawangannya di Merbok, Sungai Petani.
Universiti swasta AIMST turut beroperasi di pekan Bedong, dekat Sungai Petani.
Rekreasi
dan Pelancongan
Pantai Merdeka
Pusat peranginan ini terletak kira-kira 40
minit perjalanan dari pusat bandar. Perjalanan menaiki kenderaan sendiri ke
pantai ini mesti melalui Jalan Persekutuan Laluan Butterworth. Pelancong perlu
melalui pekan Tikam Batu dan seterusnya pekan Kota Kuala Muda sebelum tiba di
Pantai Merdeka. Pantai ini juga mudah dilawati dengan menaiki bas dari Stesen
Bas Sungai Petani. Sila naik bas City Liner bernombor 26 untuk perjalanan yang
mudah dan selesa. Terdapat kemudahan perhentian bas, chalet, tandas awam, medan
selera dan gerai-gerai jualan. Pantai Merdeka menawarkan kemudahan percutian
untuk seisi keluarga. Pelancong boleh bermandi-manda dan berkayak di pantai
ini. Terdapat perkhidmatan bot untuk pelancong pergi ke Tanjung Dawai.
The Carnivall
The Carnivall merupakan sebuah taman tema air
di Sungai Petani. Taman tema ini dibuka pada 25 Disember 2006 dan terletak
kira-kira 5 km dari pusat bandar. Sekiranya anda datang dari Lebuhraya Utara
Selatan, sila keluar ikut Exit 170-Sungai Petani Utara. Sila ambil jalan ke
pusat bandar dan terdapat kemudahan papan tanda jalan untuk ke taman tema ini.
Sungai Merbok
Sungai Merbok ialah sungai yang mengalir ke
Selat Melaka dan mempunyai hutan paya bakau. Terdapat kemudahan pelancongan di
sini. Pelancong boleh melawat Galeri Hutan Paya Bakau dan bersiar-siar di
pesisir sungai. Ada juga disediakan kemudan bot pelancong untuk mereka yang
ingin menyusuri sungai ini. Anda juga boleh berehat dan menjamu selera di
restoran makanan laut.
Tanjung Dawai
Sebuah pekan kecil di barat Sungai Petani.
Pekan ini merupakan sebuah perkampungan nelayan. Hasil laut diproses di sini
untuk dijadikan makanan. Pelancong boleh mendapatkan ikan kering, ikan bilis, ikan masin, pekasam dan pelbagai lagi hasil
makanan laut dengan harga yang berpatutan. Perkhidmatan bas Mara Liner
disediakan ke pekan ini dari bandar Sungai Petani.
Tanjung Dawai menempatkan Kompleks Lembaga
Ikan Malaysia (LKIM), arked dan jeti Tanjung Dawai serta Medan Selera Ikan
Bakar yang mampu menggamit kedatangan pelancong dari dalam danluar negeri
Kedah.
Kompleks Lembaga Ikan Malaysia (LKIM)
merupakan pusat pendaratan ikan bagi nelayan-nelayan di Tanjung Dawai. Anda
dapat melihat senario sebenar aktiviti nelayan setempat disamping dapat membeli
hidupan laut yang masih segar. Arked Tanjung Dawai memberi kemudahan kepada
pengunjung untuk membeli pelbagai produk hidupan laut samada kering atau basah
dengan tawaran harga yang berpatutan.
Jeti Tanjung Dawai yang sentiasa dikunjungi
terutamanya pada musim cuti memberi kemudahan pengangkutan ke Pantai Merdeka
yang merupakan destinasi mandi-manda yang popular di Negeri Kedah. Bayaran yang
dikenakan adalah berpatutan iaitu sebanyak RM2.00 pergi dan balik.
Bagi mereka yang datang bersama keluarga atau
rakan taulan dapat menjamu selera di Medan Selera Ikan Bakar yang menyajikan
pelbagai juadah hidupan laut. Hati yang resah pasti tenang di kala menjamu
selera sambil menikmati pemandangan lautan yang luas terbentang dengan disapa
angin petang yang nyaman.
Lembah Bujang
Merupakan tempat bersejarah kerana telah
mencatatkan sejarah awal negeri Kedah Darul Aman. Lembah Bujang kira-kira 1000
tahun lalu merupakan pusat perdagangan dan pemerintahan Hindu-Buddha di negeri
rantau Nusantara. Kawasan ini juga menerima pengaruh Islam. Terdapat sebuah
Muzium Arkeologi di sini.
Muzium Arkeologi Lembah Bujang terletak di
atas Bukit Batu Pahat yang berada 23 km dari bandar Sungai Petani. Terletak di
dalam Mukim Merbok, Daerah Kecil Merbok. Ia adalah salah satu muzium yang
mempamerkan bukti kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan
ugama Hindu Buddha di Asia Tenggara pada kurun ke 3 Masehi hingga 12 Masehi.
Dibuka secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman pada 23 Januari 1980 bersamaan 5 Rabiulawal
1400 Hijrah. Bahan-bahan arkeologi yang dipamerkan di Muzium ini merupakan
artifak-artifak arkeologi yang ditemui melalui kerja-kerja penyelidikan dan
ekskavasi arkeologi di tapak-tapak arkeologi di sekitar kawasan Lembah Bujang.
Artifak arkeologi yang dipamerkan dalam Muzium ini merupakan bahan-bahan yang
membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat
perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang menguasai jalan
perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama
pedagang-pedagang dari China, India dan Arab di samping pedagang-pedagang
Melayu dari Kepulauan Melayu yang menguasai perdagangan rempah ratus dan hasil
hutan exotika untuk pasaran timur jauh sejak kurun ke 5.
Di kawasan persekitaran Muzium Lembah Bujang
ini dapat dilihat tinggalan senibina candi-candi yang mempunyai kaitan dengan
kepercayaan dan pemujaan yang dapat membuktikan kewujudan dan kepercayaan agama
Hindu/ Buddha yang menjadi amalan sebahagian dari masyarakat yang berdagang di
Lembah Bujang
Sebuah air terjun mengalir di tepi muzium.
Jika menaiki bas, terdapat bas Mara Liner dan City Liner berhenti di pekan
Merbok. Anda boleh berjalan kaki atau menaiki teksi ke Lembah Bujang.
Menara Jam Besar
Di pusat bandar terdapat sebuah bangunan
bersejarah iaitu Jam Besar yang dibina pada tahun 1936 untuk memperingati Jubli
Perak King George V dan Queen Mary.
Taman Jubli Perak
Taman ini dibina untuk memperingati sambutan
Jubli Perak Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Kemudahan medan
selera, trek joging, taman permainan, alatan sukan dan tandas awam disediakan
di taman ini. Penduduk Sungai Petani menggunakan taman ini untuk aktiviti
riadah pada sebelah pagi, petang atau hujung minggu.
Rekreasi Tupah
Terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Gunung
Jerai. Pusat perkelahan ini begitu popular di kalangan penduduk di daerah ini.
Ia sentiasa dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pada musim cuti
sekolah.
Kemudahan yang terdapat di pusat perkelahan
ini adalah seperti surau, tandas dan gerai makan. Terdapat juga pelbagai juadah
dijual di tepi jalan. Para pengunjung dapat bersuka ria di samping dapat
melihat kehijauan flora dan fauna di kawasan hutan simpan.
Makam Sultan Muzaffar Shah
Makam Sultan Muzaffar Shah terletak di
Kampung Langgar, Mukim Bujang. Mengikut catatan sejarah baginda adalah Sultan
Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Sebelum memeluk agama Islam, baginda
dikenali sebagai Maharaja Derbar Raja II dan telah memerintah negeri Kedah dari
tahun 1136 hingga 1179. Baginda memeluk agama Islam melalui seorang alim dari
Yaman iaitu Sheik Abdullah bin Sheik Ahmad bin Quamiri. Pada tahun 1179, Sultan
Muzaffar Shah telah mangkat setelah baginda memerintah Kedah selama lebih
kurang 43 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan